\
Assalamualaikum dan Selamat Datang

Monday, March 31, 2014

Si Luncai Dan Labu-Labunya


Si Luncai telah dijatuhkan hukuman oleh raja supaya dibuang ke tengah laut. Si Luncai dihukum kerana kesalahannya mempermain-mainkan raja serta pembesar-pembesar baginda. Oleh itu dia menerima hukuman itu dengan tenang.

         Pesuruh raja pun bersiaplah membawa Si Luncai ke dalam perahu untuk dibawa ke tengah laut kerana Si Luncai akan dibuang ke dalam laut itu nanti. Si Luncai telah dimasukkan ke dalam sebuah guni dan dipikul ke pangkalan.

          Apabila sekaliannya telah siap, maka perahu itu pun dikayuhlah ke tengah laut. Dari dalam guni itu Si Luncai dapat melihat beberapa biji labu air terdapat di dalam perahu. Setelah lama mereka berkayuh, maka Si Luncai berkata;
 “Kasihan benar aku melihat kamu semua terlalu teruk berkayuh. Mahukah kamu semua jika aku ajarkan lagu untuk menghilangkan penat kamu semua itu?”

      Salah seorang daripada mereka berkata; “Diamlah kamu, sebentar lagi kamu akan dicampakkan ke dalam laut ini”. Mendengar kata-kata yang sedemikian itu, maka Si Luncai pun menyanyilah. “Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan! Biarkan!”

      Mendengar Si Luncai menyanyi itu, pesuruh raja itu mula tertarik dan beberapa orang pekayuh mula menyanyi: “Si Luncai terjun dengan labu-labunya!”

      Maka beberapa orang yang lain pun menjawablah: “Biarkan! Biarkan!” Akhirnya mereka menjadi dua kumpulan menyanyikan lagu itu.

“Si Luncai terjun dengan labu-labunya!”
“Biarkan! Biarkan!”

Demikian lagu itu dinyanyikan berulang-ulang hingga lekalah mereka semuanya.

      Melihatkan keadaan itu, maka Si Luncai pun keluar dari guni dan dia mengisikan beberapa biji labu ke dalam guni itu dan kemudian dia mengambil dua biji labu yang lain lalu terjun dari perahu itu. Si Luncai berenang ke tepian menggunakan pelampung labu air yang dua biji itu.

         Apabila sampai ke tengah laut, pesuruh raja pun mencampakkan guni itu ke dalam laut. Pada mereka, matilah Si Luncai dan mereka pun baliklah memberitahu raja akan hal itu. Tiada siapa yang tahu bahawa Si Luncai sebenarnya telah berenang sampai ke pantai.

         Namun dalam hatinya menyimpan dendam yang sangat mendalam kepada raja yang zalim dan angkuh itu. Setiap hari dia memikirkan bagaimanakah caranya untuk membalas dendam. Padanya, raja adil raja disembah, raja zalim, raja disanggah. Setelah beberapa hari lamanya, barulah Si Luncai mendapat idea.

   Pada hari yang terpilih itu, Si Luncai pun mengenakan baju serba putih lengkap dengan serbannya sekali. Imej yang dibinanya adalah imej orang alim lagi warak.

     Setelah itu dia pun dengan beraninya pergi ke istana raja. Melihat Si Luncai datang, terkejutlah seisi istana, kerana tidak menyangka yang Si Luncai telah ‘hidup’ kembali. Raja pun keluar dan terjadilah pertemuan baginda dengan Si Luncai buat kali kedua.
“Apa yang terjadi kepada kamu?” tanya baginda.
“Alhamdulillah, patik sekarang telah insaf … patik akan menjadi orang alim. Patik tidak perlukan apa-apa lagi dalam hidup ini.”

“Apa yang terjadi kepada kamu?”
“Patik telah sampai ke alam arwah dan bertemu dengan arwah-arwah orang yang telah mati … termasuk arwah ayah patik dan almarhum ayahanda tuanku.”

“Almarhum ayahanda beta? Bagaimana gerangannya di sana?”
“Ampun, tuanku. Almarhum sangat dukacita kerana perbuatan tuanku.”

“Apa yang beta lakukan?”
“Entahlah, almarhum cuma berdiam diri. Katanya baginda ingin bertemu sendiri dengan tuanku untuk memberi nasihat,” kata Si Luncai.

“Bagaimana, bolehkah beta bertemu ayahanda beta?”
“Masakan tidak, hamba yang hina ini pun boleh, apalagi tuanku yang mulia.”

     Si Luncai tersenyum dalam hatinya. Perangkapnya sudah mengena. Raja yang zalim tapi bodoh itu akan berjaya ditipunya.

“Bagimanakah cara?” tanya raja.
“Begini … tuanku hendaklah masuk ke dalam laut dalam peti yang dilubangi. Patik dahulu pun begitu juga. Di dasar lautlah akan berlaku pertemuan itu nanti.”

     Tanpa berfikir panjang, raja pun bersetuju. Pendek cerita, raja pun dibuang ke laut di dalam peti yang berlubang. Apalagi, air pun masuk dan raja pun mati lemas. Si Luncai lari menyembunyikan diri dan tidak diketahui lagi keadaan dan nasibnya selepas itu.




http://genta-rasa.com/2010/05/21/biarkan-siluncai-terjun-dengan-labu-labunya/



Nilai

     1.   Ketenangan
     2.   Kebijaksanaan
     3.   Keberanian


Pengajaran


1.   Kita hendaklah bijak menggunakan akal bagi menyelesaikan sesuatu masalah.
2. Kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.

3.  Kita janganlah menyimpan dendam terhadap sesiapa pun kerana ia akan menimbulkan permusuhan.

No comments:

Post a Comment