\
Assalamualaikum dan Selamat Datang

Thursday, April 10, 2014

Pak Kadok


Pak Kadok tinggal di negeri Chempaka Sari di mana raja negeri itu bergelar Indera Sari. Baginda cukup gemar menyabung ayam. Pada suatu hari, Raja Indera Sari mahu adakan pesta menyabung ayam dan Pak Kadok hendak mengambil bahagian dalam pesta itu. Penduduk sering berkata ayam sabung Pak Kadok, Biring Si Kunani itu bertuah kerana ayam itu pasti menjadi juara.


     Pak Kadok membeli kertas dan menyuruh isterinya membuat baju dan seluar untuk ke pesta itu. Walaupun Pak Kadok miskin tetapi dia tetap suka bergaya. Mak Siti Segera menggunting baju dan seluar kertas itu. “Tak usahlah dijahit, pakai pelekat saja,” kata Pak Kadok.

   Mak Siti mengikut sahaja kata suaminya itu dan selepas siap Pak Kadok pun memakai baju dan seluar kertas itu. Di atas kepalanya Pak Kadok memakai tengkolok helang menyonsong angin. Pak Kadok nampak bergaya sekali dan tampak kacak seperti juara yang mahir dalam hal sabung-menyabung ayam. Pak Kadok menangkap ayamnya Biring Si Kunani dan menuju ke gelanggang raja untuk menyabung ayam dengan raja.

    Pak Kadok pun dititah mengadap sebelum bermula. Baginda bertitah;

“Hai Pak Kadok, mari kita bertukar ayam. Ambillah ayam beta ini, elok, cuba lihat romannya jalak putih mata, dan ayam Pak Kadok, Biring Si Kunani sahaja tiada berapa tuahnya,” titah baginda pula.


    Pak Kadok terharu mendengar kata-kata baginda itu maka tanpa berfikir panjang Pak Kadok pun setuju bertukar ayam dengan baginda raja. Baginda begitu gembira kerana dapat ayam Pak Kadok kerana baginda tahu ayam itu ayam yang bertuah.

Maka titah baginda, "Hai Pak Kadok, apakah taruhnya kita menyambung ayam ini?"

   Pak Kadok pun berkata, "Ampun Tuanku patik bukanya berharta yang patik ada cuma perkampungan patik saja. Maka jika tidak keberatan izinkan patik gadaikan kampung untuk taruhan kali ni."

     Baginda pun bersetuju dengan taruhan Pak Kadok itu. Masing-masing pun melepaskan ayam. Bermula sabung menyabung antara Biring Si Kunani dan Jalak Putih dengan sengit sekali. Jalak Putih cuba untuk membalas serangan dari Biring Si Kunani tetapi tewas juga, Jalak Putih tersungkur di tengah gelanggang.




      Melihat situasi tersebut Pak Kadok bertepuk sorak, sambil melompat-lompat. Pak Kadok terlupa yang dia telah bertukar ayam dengan baginda tuanku dan kerana melompat-lompat terlalu kuat, baju dan seluar kertas Pak Kadok habis koyak-robak.

    Orang ramai menjadi riuh rendah melihat Pak Kadok bertelanjang bogel di tengah gelanggang dan kerana berasa amat malu dia terus lari pulang.

“Malang Pak Kadok, ayam menang, kampung tergadai!” baginda titah.



Sumber : http://nazierahawira.blogspot.com/2011/11/contoh-cerita-jenaka.html



Nilai


1.    Bersemangat

2.    Baik hati

3.    Rendah Diri



Pengajaran

1.  Kita hendaklah tidak membuat keputusan terburu-buru tanpa berfikir panjang.

2. Sebagai pemerintah, kita janganlah mengambil kesempatan terhadap kelemahan rakyat.

3. Kita janganlah berjudi kerana ia tidak mendatangkan keuntungan.

No comments:

Post a Comment