SEMESTER 2 SESI 2013/2014
BSS 3073 – KESUSASTERAAN MELAYU DALAM PEMBINAAN MODAL
INSAN
TAJUK:
MODUL
PENGAJARAN NILAI KEPADA PELAJAR SEKOLAH RENDAH DENGAN MENGGUNAKAN GENRE SASTERA
DISEDIAKAN OLEH :
NAMA
|
NO. MATRIK
|
AZILAH BINTI
ABDUL RAHMAN
|
D20111047475
|
NOOR EMYLIANA
BINTI GAZALI
|
D20111047507
|
NURHASYIMAH BINTI
MAT SAEI
|
D20111047543
|
AISYAH BINTI MUHD
RASHID
|
D20111047552
|
HALIMAH BINTI
ARIFFIN
|
D20111047565
|
KUMPULAN KULIAH: B
PENSYARAH: DR. NORAZIMAH BINTI ZAKARIA
TARIKH SERAH : 29 APRIL 2014
_________________________________________________________
1.0 PENGENALAN
Sastera
merupakan karya bahasa sama ada tulisan mahupun lisan yang mempunyai ciri-ciri
istimewa dan berbeza dengan bahasa harian (Naapie Mat, 2006: 3). Bahan-bahan
sastera yang pelbagai boleh digunakan oleh guru untuk menyampaikan mesej yang
berkesan kepada murid. Petikan-petikan bahan sastera daripada pelbagai genre
yang sesuai boleh digunakan sebagai bahan bantu mengajar. Hal ini demikian,
murid lebih tertarik kepada bahan genre sastera yang bersifat bebas, santai dan
mempunyai cerita-cerita yang rapat dengan kehidupan seharian. Struktur
penghasilan bahan sastera boleh dibahagikan kepada tema, persoalan, gaya
bahasa, watak, nilai dan pengajaran yang mempunyai fungsi tertentu.
Penggunaan genre sastera dalam
bidang pendidikan memainkan peranan penting dalam menerapkan nilai-nilai dan
pengajaran dalam usaha melahirkan modal insan kelas pertama. Penerapan
nilai-nilai ini perlu dilaksanakan sejak di bangku sekolah kerana perkembangan
dan tahap pemikiran kanak-kanak merupakan tahap pemikiran yang mudah untuk
menerima input-input baru. Menurut Sulaiman Masri et. al (2006: 266)
nilai murni merujuk nilai yang mempunyai standard moral yang tinggi serta
penting bagi sosialisasi perkembangan fizikal dan rohani manusia termasuk
penampilan terbaik dan terpuji sebagai manifestasi daripada kesepaduan antara
nilai moral, budaya, agama dan estetik.
Kanak-kanak boleh dibahagikan kepada
tiga peringkat, iaitu pertama, dua hingga empat tahun; kedua, lima hingga
sepuluh tahun; dan ketiga, sebelas tahun ke atas. Oleh itu, penghasilan bahan
sastera adalah berbeza mengikut peringkat umur kanak-kanak. Hadiah Buku
Kebangsaan Malaysia yang pernah dikelolakan oleh Majlis Buku Kebangsaan
Malaysia mengkategorikan buku kanak-kanak sebagai bahan terbitan untuk
kanak-kanak yang berusia 12 tahun dan ke bawah. Penulisan buku tersebut
meliputi buku bergambar, berilustrasi, buku cereka, pengetahuan, rujukan dan
adaptasi (Md. Sidin Ahmad Ishak,
2005: 9).
Para guru boleh menggunakan teknologi maklumat untuk mengaplikasikan
nilai-nilai dan pengajaran genre sastera dengan mudah. Penggunaan blog,
misalnya merupakan antara saluran multimedia yang menarik untuk digunakan dalam
sesi pengajaran dan pembelajaran. Implementasi media seperti animasi, grafik,
audio, video dan teks mampu menarik minat murid untuk mempelajari genre
sastera. Murid sekolah rendah khususnya boleh menggunakan blog sebagai saluran
maya untuk mendapatkan maklumat tentang pembelajaran sastera dengan bimbingan
dan pemantauan daripada guru atau ibu bapa.
Kini, penggunaan laman blog dalam
usaha menerapkan nilai-nilai dalam pembacaan karya sastera amat menggalakkan.
Sastera rakyat ini telah dikembangkan menjadi bahan bacaan yang sesuai untuk
semua lapisan masyarakat terutamanya kanak-kanak. Terdapat beberapa jenis genre
sastera yang terkenal, iaitu cerita haiwan, cerita jenaka, cerita teladan,
pantun dan sajak. Antara 17 nilai-nilai murni utama yang terkandung dalam genre
sastera tersebut merupakan nilai murni yang telah ditetapkan oleh pihak
Kementerian Pelajaran Malaysia ialah baik hati, berdikari, hemah tinggi,
hormat, kasih sayang, keadilan, kebebasan, keberanian, kebersihan, kejujuran,
kerajinan, kerjasama, kesederhanaan, kesyukuran, rasional, semangat
bermasyarakat dan patriotisme.
2.0 PENERAPAN NILAI MELALUI CERITA HAIWAN
Cerita
binatang dan jenaka lazimnya mampu menarik minat dan sesuai untuk pembacaan
kanak-kanak (Md. Sidin Ahmad Ishak, 2005: 53).Cerita binatang juga dikenali
sebagai dongeng binatang yang sangat digemari ramai. Hal ini demikian, cerita
binatang mengandungi teladan yang sesuai untuk menjadi saluran menyemaikan
nilai murni dalam kalangan kanak-kanak (Siti Zaleha, 2013: 19). Menurut Othman
Puteh dan Abdul Ahmad (1984: 64) cerita binatang ini sesuai untuk bacaan
kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan 7 hingga 13 tahun. Penggunaan plot
cerita yang tersusun selain penggunaan gaya bahasa dan latar yang menarik mampu
meningkatkan kefahaman kanak-kanak terhadap mesej yang ingin disampaikan.
Antara cerita haiwan yang terkenal
ialah koleksi cerita Sang Kancil. Hal ini disebabkan oleh, masyarakat pada
zaman dahulu menggunakan watak Sang Kancil sebagai seekor haiwan yang bijak dan
lincah dalam melakukan sesuatu tindakan terutamanya ketika berhadapan dengan
masalah. Terdapat banyak koleksi cerita Sang Kancil dan rakan-rakannya yang
mengandungi nilai-nilai murni yang perlu dicontohi oleh murid secara tidak
langsung. Antara contoh nilai tersebut termasuklah nilai kerjasama, bijaksana,
yakin, bersyukur, jangan tamak, tolong-menolong dan sentiasa berhati-hati.
2.1 Nilai
Kerjasama
Cerita haiwan banyak menerapkan nilai-nilai murni
yang sesuai dengan peringkat umur murid sekolah rendah. Antara nilai murni
tersebut ialah semangat kerjasama berpasukan. Semangat berpasukan merujuk kerja
yang dilakukan bersama-sama atau
saling membantu
antara dua
atau beberapa
pihak. Berdasarkan cerita “Sang Kambing dengan Buaya”,
nilai kerjasama diselitkan secara tidak langsung. Nilai ini dapat dilihat
melalui kerjasama yang diamalkan oleh sekumpulan kambing untuk melepaskan diri
daripada dimakan oleh buaya ketika mereka menyeberangi sungai untuk mendapatkan
makanan.
Kumpulan
kambing tersebut bekerjasama melaksanakan rancangan Sang Kancil untuk menipu
buaya. Sikap kerjasama ini secara tersirat boleh dijadikan panduan kepada
murid. Murid boleh bekerjasama untuk menyelesaikan masalah dengan berbincang
tentang idea atau jalan penyelesaian yang sesuai. Sebagai contoh, aktiviti
bersukan amat menitikberatkan semangat kerjasama berpasukan. Setiap pasukan
perlu bekerjasama untuk menyusun strategi bagi mengalahkan pihak lawan dengan
berpandukan kelemahan lawan dan kekuatan sendiri. Semangat kerjasama ini amat
penting bagi mencungkil idea dan kemahiran yang ada dalam diri setiap ahli
supaya sesuatu masalah dapat diselesaikan dengan mudah seperti ‘bersatu teguh,
bercerai roboh’.
2.2 Nilai
Bijaksana dan Yakin
Nilai bijaksana dan yakin merupakan gabungan
nilai-nilai murni yang mantap bagi melahirkan sebuah pemikiran yang baru.
Nilai-nilai ini boleh dilihat melalui watak Sang Kancil yang sangat popular
dalam kalangan kanak-kanak. Sang Kancil dikatakan seekor haiwan yang bijak
dalam menggunakan tipu helah untuk melepaskan diri daripada masalah atau ketika
berhadapan dengan musuh walaupun memiliki fizikal yang kecil. Kelincahannya
bergerak serta kecerdasan otaknya berfikir telah membantunya muncul sebagai
watak penyelamat dan pembantu walaupun hanya memegang watak sampingan dalam
cerita sastera. Sebagai contoh, tindakan Sang Kancil mengenakan Sang Buaya
ketika ingin menyeberangi sungai untuk mendapatkan makanan.
Sang
Kancil menggunakan kepintarannya untuk mengira bilangan buaya dengan secara
tidak langsung menyeberangi sungai dengan selamat. Tindakan Sang Kancil ini
wajar dicontohi murid terutamanya ketika murid buntu dan gagal untuk bertindak
dengan rasional. Nilai ini dapat diterapkan melalui situasi ketika murid
berfikir untuk membuat keputusan ketika sedang berunding atau berbincang. Murid
perlu berfikir secara rasional, kreatif dan kritis sebelum membuat sesuatu
keputusan bagi mengelakkan kesan yang negatif. Murid juga perlu menghujahkan
keputusan dengan berkeyakinan untuk menarik perhatian pendengar.
2.3 Nilai
Jangan Bersikap Tamak dan Bersyukur
Sikap tamak merupakan antara sikap negatif yang
tidak digalakkan pengamalannya dalam kehidupan seharian. Hal ini demikian,
orang yang tamak selalunya akan rugi seperti kisah “Anjing dengan Bayang-Bayang”.
Cerita sastera ini sering dijadikan teladan kepada kanak-kanak supaya tidak
mencontohi sikap Sang Anjing yang tamak untuk mendapatkan makanan yang lebih
banyak. Nilai murni bersyukur perlu diterapkan dalam diri kanak-kanak sejak
dari kecil dan tidak ‘memanjakan’ mereka dengan material.
Oleh
sebab itu, ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka supaya sentiasa bersyukur
dan bersikap pemurah dari segi keperluan atau hak milik peribadi. Cerita
“Anjing dengan Bayang-Bayang” merupakan contoh genre sastera yang terbaik untuk
digunakan sebagai media pendidikan kepada murid. Murid seharusnya tidak
mencontohi sikap tamak Sang Anjing kerana akhirnya ‘yang dikejar tak dapat,
yang dikendong berciciran’. Oleh itu, murid seharusnya belajar untuk sentiasa
bersyukur dengan apa-apa yang diperoleh dan tidak menyimpan perasaan dengki
dengan orang lain yang lebih baik.
2.4 Nilai
Tolong-Menolong
Pembacaan cerita sastera lazimnya mempunyai beberapa
nilai murni yang diketengahkan termasuklah nilai tolong-menolong. Penerapan nilai
tolong-menolong wajar dilakukan sejak di bangku sekolah lagi. Hal ini demikian,
pengaplikasian nilai ini penting dalam kehidupan seharian murid. Sebagai
contoh, murid seharusnya bersikap ringan tangan. Sikap suka menolong orang yang
dalam kesusahan, membantu melakukan sesuatu pekerjaan dan sebagainya dapat
melatih diri murid menjadi seorang yang rendah diri dan baik hati secara tidak
langsung.
Nilai
tolong-menolong ini boleh dijelaskan dalam cerita haiwan “Sang Kerbau dengan
Buaya”. Sikap baik hati Sang Kerbau yang menolong buaya kerana ditimpa oleh
sebatang pokok yang besar. Sang Kerbau berusaha bersungguh-sungguh untuk
menolong buaya walaupun dia mengetahui bahawa buaya merupakan seekor pemangsa.
Murid perlu mengikut sikap Sang Kerbau yang suka menolong haiwan lain tanpa
mengira latar belakang pihak lain. Namun begitu, murid-murid perlu berhati-hati
supaya tidak ditipu dan kebaikan yang diberikan tidak dimanipulasikan oleh
pihak lain.
2.5 Nilai
Sentiasa Berhati-Hati
Nilai murni berhati-hati merupakan antara nilai yang
perlu dipupuk dalam diri murid. Hal ini demikian, pada usia yang masih muda,
kanak-kanak merupakan golongan yang cenderung untuk melakukan sesuatu tindakan
tanpa berfikir panjang. Tindakan yang dilakukan itu lazimnya disebabkan oleh pengaruh
emosi, untuk mendapatkan kepuasan, luahan perasaan, pengaruh orang lain dan
sebagainya. Penggunaan bahan-bahan sastera yang sesuai dengan meletakkan watak
penceritaan yang memegang perwatakan yang baik amat perlu supaya kanak-kanak
dapat menerapkan nilai tersebut dengan mudah.
Sebagai
contoh, nilai murni berhati-hati dalam cerita haiwan “Sang Ayam dengan Helang”
menunjukkan sifat ayam yang cuai dan suka melakukan sesuatu tanpa berfikir
panjang dan tidak berhati-hati sama seperti kanak-kanak. Oleh yang demikian,
kanak-kanak perlulah tidak mencontohi sikap cuai dan tidak amanah Sang Ayam
yang gagal menjaga barang Helang dengan baik. Nilai berhati-hati perlu
diterapkan dalam diri kanak-kanak untuk melatih diri mereka supaya lebih
bertanggungjawab dan amanah. Sikap tanggungjawab ini amat penting bagi
melahirkan generasi yang lebih peka, jujur dan komited dalam melaksanakan
sesuatu tugasan.
3.0 PENERAPAN NILAI MELALUI CERITA JENAKA
Cerita jenaka merupakan cerita yang
paling diminati oleh golongan pembaca. Cerita jenaka merupakan cerita rakyat
kerana ia disampaikan secara lisan dan wujud pada zaman dahulu di mana
masyarakatnya masih belum mengenal huruf. Cerita jenaka diwarisi dari generasi
ke generasi dan tidak diketahui nama penciptanya kerana ia dianggap sebagai hak
milik bersama. Cerita-cerita jenaka mempunyai unsur humor yang dapat
menggelikan hati, membangkitkan ketawa dan lucu. Menurut James Danandjaja dalam
Mohd Nurazwan (2012), cerita jenaka adalah;
“…kelompok
cerita dongeng yang dapat menimbulkan rasa menggelikan hati, sehingga
menimbulkan ketawa bagi yang mendengarnya (penonton) mahupun yang
menceritakannya (penutur). Pelbagai unsur humor terkandung dalam cerita jenaka
sama ada melalui sifat watak ceria, dialog yang digunakan dan banyak lagi unsur
lain yang mempengaruhi.”
Kebiasaannya
konflik yang dihadapi antara raja dan rakyat menjadi pengajaran kepada masyarakat yang diceritakan dalam bentuk
jenaka. Pengarang cuba menimbulkan kelemahan pihak pemerintah yang suka
mengambil kesempatan terhadap kelemahan rakyat. Walaupun ia disampaikan melalui
jenaka, ia sebenarnya menegur golongan dan mengkritik golongan yang terlibat.
Ia sekadar ingin memberi pengajaran kepada generasi baru supaya tidak berulang
lagi seperti yang telah berlaku kepada generasi dahulu.
Penggunaan
cerita jenaka dalam pengajaran tidak boleh dianggap perkara remeh dan tidak
pelu diendahkan oleh guru. Menurut Barbara A. Gibson (dalam Abdul Ghani
Abdullah et. al, 2007), penggunaan
unsur jenaka atau humor dalam pengajaran adalah aset yang bernilai dalam
menghasilkan suatu pengajaran berkesan. Hasil kreatif pencipta cerita jenaka
ini adalah bertujuan untuk memberi nilai pendidikan kepada pembaca dan
pendengar. Selain daripada untuk menghiburkan hati, ia turut mengandungi nilai
dan pengajaran yang dapat diresapkan ke dalam diri masyarakat.
3.1 Nilai Berhati-hati
Berada di dunia yang
penuh dengan tipu daya ini memerlukan golongan kanak-kanak bersikap lebih
berhati-hati dengan setiap orang yang ditemuinya. Kanak-kanak mudah terpengaruh
dengan ajakan atau pelawaan orang walaupun orang tersebut tidak dikenalinya.
Melalui cerita jenaka, kanak-kanak tahu akan situasi-situasi yang memerlukan
mereka berhati-hati supaya dapat elakkan diri menjadi mangsa penipuan kerana
akan menerima nasib yang sama seperti watak yang diceritakan.
Sebagai contoh, cerita Si Luncai menceritakan seorang
raja telah menjatuhkan hukuman mati ke atas si Luncai kerana dikatakan biadab
kepada raja. Kemudian, si Luncai muncul dengan mengaku dirinya itu sebagai
malaikat dan menyampaikan hasrat ayahanda kepada raja yang ingin berjumpa
dengan raja di syurga. Si Luncai berjaya membunuh raja dengan menggunakan
kepintarannya dan sikap tidak berhati-hati raja. Walaupun cerita mengisahkan
tentang raja, namun ia memberi peringatan kepada golongan kanak-kanak bahawa
sesiapa sahaja boleh tertipu jika tidak bertindak dengan menggunakan akal.
3.2 Nilai Yakin dengan Kebolehan Diri Sendiri
Faktor kejayaan
seseorang ialah keyakinan pada diri sendiri. Kanak-kanak terlalu mudah memberi
kepercayaan kepada orang lain dan tidak yakin akan kebolehan diri sendiri.
Sebagai contoh dalam pepeeiksaan di sekolah, kebanyakan kanak-kanak lebih
cenderung untuk meniru jawapan kawannya kerana tidak yakin dengan jawapan sendiri
walaupun kanak-kanak itu mengetahu kelebihan diri dia mengatasi kelebihan
kawannya. Melalui cerita jenaka, ia menceritakan sikap watak yang lebih
mempercayai orang lain sehingga merugikan diri sendiri.
Dalam cerita Pak Kadok, Pak Kadok merupakan rakyat yang
jujur, menaruh sepenuh kepercayaan kepada rajanya dan tidak pernah tersimpan
perasaan tidak elok terhadap raja. Pak Kadok diminta menukarkan ayamnya iaitu
si Kunani dengan ayam raja kerana ayam raja dikatakan lebih bertuah daripada si
Kunani. Sedangkan sebelum ini si Kunani telah banyak kali memenangi
pertandingan menyabung ayam. Pak Kadok telah termakan dengan penipuan yang
dibuat raja itu kerana terlalu percayakan raja. Akhirnya Pak Kadok telah kalah
dalam pertarungan menyabung ayam dan tergadai kampungnya serta telah memalukan
dirinya sendiri.
3.3 Nilai Bertanggungjawab
Nilai tanggungjawab
antara yang paling sukar untuk dilaksanakan. Jika dilatih dari awal, ia menjadi
sebati dalam diri. Kanak-kanak perlu diajar akan nilai ini kerana mereka
merupakan bakal pemimpin negara. Orang yang mempunyai perasaan bertanggungjawab
akan melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh dan bijak menguruskan waktu.
Cerita jenaka juga memaparkan kehidupan orang Islam. Perwatakan orang Islam
yang bertanggungjawab membuat keputusan tetapi tidak melaksanakannya dengan
baik telah ditegur secara sindiran dalam cerita jenaka.
Cerita Lebai Malang mengisahkan tentang seorang lebai
yang telah menunjukkan ciri-ciri yang tidak elok dalam melaksanakan tugasnya
sebagai lebai. Lebai Malang menerima tiga jemputan yang meminta dia hadirkan
diri pada hari dan waktu yang sama iaitu majlis pengebumian, khatam Quran dan
Maulud Nabi. Keputusan Lebai Malang untuk menghadiri majlis pengebumian patut
dipuji kerana dirasakan lebih utama dan rasa bertanggungjawab. Tetapi kelemahan
beliau ialah tidak dapat menepati sama dan akibatnya Lebai Malang tidak
mendapat sebarang keuntungan kerana menghadapi banyak musibah di sepanjang
perjalanan beliau.
3.4 Nilai Kebijaksanaan
Kebijaksanaan merupakan
sifat kearifan dan kecerdikan dalam hidup. Kanak-kanak turut berhadapan dengan
masalah dan perlu bijak menanganinya. Kebijaksanaan bukan hanya terletak pada
pemikiran tetapi perlu diiringkan dengan usaha. Orang yang malas berusaha akan
rugi walaupun dia bijak mengeluarkan idea. Kanak-kanak yang bijak perlu kreatif
menyelesaikan sesuatu pekerjaan dan tidak boleh berputus asa dalam kehidupan.
Contohnya terdapat kisah yang mana Pak Belalang
ditugaskan untuk mencari jawapan bagi persoalan cara mengenali anak itik yang
jantan dan betina. Di sini dapat dilihat usaha Pak Belalang mencari jawapan.
Beliau telah pergi ke sebuah kapal pada waktu malam dan berjaya mendapatkan
jawapan melalui kepintarannya juga (Othman Daya, 2006).
3.5 Nilai Selalu Berbuat Baik
Setiap cerita jenaka
mempunyai nilai dan pengajarannya yang tersendiri. Setiap perbuatan akan
disertai dengan kesannya. Jika perbuatan itu dilakukan dengan cara yang baik,
maka akhirnya ia mendapat kebaikan. Begitu juga melakukan kejahatan, balasan
buruk akan menimpa kepada pesalah.
Sebagai contoh, Cerita Pak Belalang berbeza dengan Si Luncai yang mana si Luncai menggunakan penipuan untuk mendapatkan keuntungan namun Pak Belalang berusaha di samping menggunakan kepintarannya untuk menyelesaikan masalah. Akibat daripada perbuatan mereka itu, si Luncai telah dibunuh manakala Pak Belalang disayangi oleh rajanya. Ini memperlihatkan sifat yang baik dan buruk yang dapat dicontohi dan diambil pengajaran oleh masyarakat yang mendengar.
Sebagai contoh, Cerita Pak Belalang berbeza dengan Si Luncai yang mana si Luncai menggunakan penipuan untuk mendapatkan keuntungan namun Pak Belalang berusaha di samping menggunakan kepintarannya untuk menyelesaikan masalah. Akibat daripada perbuatan mereka itu, si Luncai telah dibunuh manakala Pak Belalang disayangi oleh rajanya. Ini memperlihatkan sifat yang baik dan buruk yang dapat dicontohi dan diambil pengajaran oleh masyarakat yang mendengar.
4.0 PENERAPAN NILAI MELALUI KISAH TELADAN
Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat, teladan didefinisikan sebagai ibarat atau pengajaran
yang terkandung atau ternyata dalam cerita. Kisah teladan ialah cerita-cerita
yang memaparkan pelbagai pengajaran dan pedoman yang boleh diambil oleh pembaca
khususnya kanak-kanak. Kebiasaannya, kisah-kisah teladan ini menjadi pilihan
pengkarya untuk dijadikan sebagai koleksi sastera kanak-kanak berunsur Islam
dan menghimpunkan kisah-kisah haiwan yang tersebut di dalam Al-Quran.
Kisah-kisah teladan ini merupakan khazanah tradisi yang banyak mengandungi
hikmah dan pengajaran seperti yang terdapat dalam contoh Koleksi Cerita
Asuhan Akhlak (2007) karya Shafie Abdul Rahman yang menghimpunkan
cerita-cerita agama yang dikumpulkan daripada hadis, kitab-kitab agama, serta
kisah yang pernah berlaku kepada para ulama dan mereka yang mendapat kemuliaan
di sisi Allah S.W.T. (Ani Haji Omar, 2012: 32)
Tujuan utama kisah-kisah ini
dipaparkan ialah untuk dijadikan sebagai contoh teladan dan bahan sumber untuk
mendidik anak-anak dengan akhlak yang terpuji, sebagaimana yang dituntut dalam
Islam. Selain itu, himpunan kisah-kisah haiwan yang tersebut di dalam Al-Quran
ini memberi pengajaran yang berguna kepada anak-anak. Kepintaran dan
kebijaksanaan haiwan-haiwan dari Al-Quran ini sudah pasti menggembirakan
anak-anak serta dapat menarik minat mereka terhadap karya-karya sastera
berunsur Islam. Antara koleksi kisah-kisah teladan haiwan yang tersebut di
dalam Al-Quran ialah kisah “Pengorbanan Ikan Nun”, “kisah Luqman Hakim” yang
ada kaitan dengan kuda, kisah-kisah teladan tentang kesabaran seorang wanita
dan banyak lagi kisah-kisah telada yang boleh diambil pengajaran.
4.1 Nilai
Kesabaran
Nilai kesabaran sangat penting diterapkan dalam diri
murid-murid sejak mereka di bangku sekolah lagi. Antara nilai yang perlu
dipupuk kepada murid-murid di sekolah ialah nilai kesabaran. Nilai kesabaran
dapat dilihat dalam kisah ‘Pengorbanan Ikan Nun’ apabila ikan Nun sanggup
berlapar berhari-hari lamanya untuk menjaga keselamatan Nabi Yunus yang berada
di dalam perutnya. Hal ini kerana jika ikan nun makan, sudah tentu Nabi Yunus
akan tercedera. Jadi, ikan nun tetap sabar dengan perintah yang telah diberikan
oleh Allah ini.
Nilai
ini mampu diterapkan dalam diri murid-murid supaya mereka dapat bersabar dalam
menghadapi cabaran dalam kehidupan kelak. Nilai ini dapat diterapkan dalam diri
murid-murid kerana mereka mendapat teladan atau contoh daripada ikan Nun itu.
Mereka akan berfikir bahawa seekor haiwan boleh hidup bersabar dan mereka juga
boleh bersabar dengan apa yang akan terjadi dalam kehidupannya kelak.
4.2 Nilai
Ketaatan dan Kepatuhan
Nilai ketaatan dan kepatuhan merupakan antara nilai
yang sangat penting dipupuk dalam diri murid-murid. Hal ini demikian untuk
memberikan kesedaran kepada mereka tentang kewajipan kita sebagai hamba-Nya
yang perlu taat dan patuh di atas segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Penerapan nilai ini juga penting supaya mereka dapat membentuk akhlak yang
terpuji dan sentiasa patuh dan taat kepada Allah, Rasul dan ibu bapa
mereka.
Nilai
ketaatan dan kepatuhan dapat dilihat dalam ‘Kisah Luqman Hakim’ yang telah
memberi nasihat kepada anaknya supaya menuntut rezeki yang halal
agar tidak menjadi fakir. Anak
Luqman Hakim tetap taat dan patuh perintah ayahnya dan tidak mempersoalkan
suruhan bapanya. Jadi, murid-murid akan mengambil iktibar dan contoh daripada kisah
Luqman yang taat dan patuh dengan segala suruhan Allah dan bapanya.. Kita juga
boleh menerapkan tentang akibat atau balasan terhadap orang yang tidak patuh
dan taat kepada suruhan Allah.
4.3 Nilai
Ketabahan
Nilai ketabahan merupakan nilai yang perlu ada pada seseorang
untuk dia meneruskan kehidupan. Nilai ini dapat dilihat sebagaimana dalam kisah
‘Kesabaran Seorang Wanita’ yang tabah menjalani kehidupan seharian tanpa
mengeluh walaupun dia hidup sebatang kara tanpa suami dan anak-anak. Nilai ini
perlu dipupuk dalam diri murid-murid supaya mereka boleh berdikari pada suatu
hari kelak. Apabila nilai ketabahan ini berjaya dipupuk, murid-murid akan
mempunyai ketahanan diri yang tinggi untuk menghadapi sebarang cabaran hidup
yang ditempuhi.
4.4 Nilai
Kemanusiaan
Kesedaran tentang kewujudan manusia dan
makhluk-makhluk lain dalam alam ini, mendorong manusia mendapatkan ilmu
pengetahuan bagi mengetahui tanggungjawab memelihara keseimbangan alam,
tanggungjawab terhadap sesama manusia dan tanggungjawab terhadap tuhan. Kesedaran
akan kepentingan mempunyai dan memelihara status dan harga diri, mendorong
manusia mempunyai sifat malu dan mengamalkan nilai-nilai murni dan rohani yang
ideal. Kesedaran akan kerukunan hidup manusia sejagat pula, mendorong manusia
untuk merumus dan mengembangkan tatasusila peradaban, adab, norma dan
undang-undang bagi melindungi hak-hak dan keistimewaan peribadi, kelompok dan
institusi masyarakat (Ani Haji Omar).
Nilai
kemanusiaan amat penting diterapkan kepada murid-murid untuk melahirkan masyarakat
yang prihatin dan bertanggungjawab. Hal ini demikian dapat dilihat dalam kisah
‘Kesabaran Seorang Wanita’. Nilai prihatin dan bertanggungjawab dapat dilihat
semasa ayah kanak-kanak itu berusaha sedaya upaya untuk mencari anaknya yang
telah meninggal di hutan sehingga ayahnya sendiri yang meninggal kerana
kehausan setelah mencari anaknya. Keadaan ini menunjukkan bahawa sikap
kemanusiaan yang tebal dalam diri seorang ayah. Melalui kisah-kisah ini,
penerapan nilai-nilai kemanusiaan dapat dipupuk dalam diri murid-murid.
5.0 PENERAPAN NILAI MELALUI PANTUN
Selain
itu, puisi tradisional seperti pantun dikenali
sebagai sebuah karya sastera yang mempunyai definisi serta fungsi yang
tersendiri. Menurut A. Halim Ali (2013: 45), pantun diterima umum sebagai sebuah
puisi orang Melayu. Oleh sebab itu, pantun dikatakan bukan merupakan saduran
daripada mana-mana puisi sama ada puisi Jawa, India, Cina dan sebagainya. Oleh
itu, orang Melayu begitu menjaga seni warisan ini dengan tetap menggunakan
bahan sastera ini sama ada sebagai penyeri majlis-majlis atau secara lisan
sahaja. Antara jenis pantun yang biasa digunakan oleh masyarakat Melayu ialah
pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat,
pantun sepuluh kerat dan pantun berkait.
Di samping itu,
menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2009:190), pantun merupakan sastera lisan yang
dihasilkan secara spontan. Hal ini kerana, masyarakat pada zaman dahulu kerap
menggunakan pantun semasa berbual atau berkongsi cerita. Mereka akan mencipta
puisi-puisi ini secara spontan dengan mengambil unsur unsur-unsur semula jadi
atau perkara-perkara yang terdapat di persekitaran mereka untuk membina
pembayang bagi pantun tersebut. Oleh sebab itu, kebanyakan pantun yang ada
sekarang dilihat mempunyai perkaitan dengan unsur-unsur alam dan hal-hal
persekitaran yang biasa dilalui oleh masyarakat.
5.1 Nilai Penghargaan
Dan Mengenang Budi
Pantun merupakan satu entiti yang
mengandungi maksud dan fungsinya yang tersendiri. Hal ini kerana, pengkarya
tidak akan sewenang-wenangnya menghasilkan karya yang tidak memberi apa-apa
kesan kepada pembaca. Oleh sebab itu, pantun yang dihasilkan dibina dengan
menyelitkan unsur-unsur nasihat dan pengajaran sesuai dengan tahap penerimaan
masyarakat. Hal ini kerana, fokus pengkarya pada kandungan isi pantun yang
dibina ada sedikit perbezaan mengikut tahap umur dan kefahaman pembaca.
Penghasilan
karya sastera ini dilihat mampu memberi impak positif kepada masyarakat khususnya
murid sekolah. Hal ini kerana, pantun masih lagi terkandung sebagai komponen
yang perlu diajar dalam sesi pembelajaran mereka. Dalam sukatan kurikulum yang
telah ditetapkan, pembahagian bidang estetika ada menyediakan huraian sukatan
pelajaran yang membolehkan guru menjalankan sesi pembelajaran dengan
menggunakan bahan sastera seperti pantun, sajak, cerita rakyat dan sebagainya.
Hal ini bertepatan dengan hasrat bagi menerapkan nilai-nilai dalam kalangan
murid bagi membolehkan proses pembentukan modal insan berlaku dengan lancar.
Pantun
berfungsi untuk menerapkan nilai murni kepada masyarakat khususnya murid-murid
dengan menyelitkan nilai-nilai tersebut seiring dengan mendukung lambang-lambang
kebudayaan di dalamnya. Sebagai contoh, pantun jenis nasihat yang menyelitkan
unsur-unsur nilai murni dilihat mampu memberi pengajaran kepada masyarakat
khususnya murid-murid. Berikut merupakan contoh pantun nasihat:
Pulau Pandan
jauh ke tengah,
Gunung Daik
bercabang tiga,
Hancur badan di
kandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.
Berdasarkan pantun nasihat di atas,
nilai murni yang diselitkan ialah nilai menghargai dan mengenang budi segala
kebaikan. Nilai tersebut sangatlah dituntut dalam kehidupan bermasyarakat agar
perpaduan kaum sentiasa terpelihara. Oleh itu, melalui pembelajaran murid,
nilai tersebut akan dapat diserap ke dalam diri mereka sehingga mereka terbiasa
untuk mengamalkannya dalam kehidupan mereka. Oleh sebab itu, secara tidak
langsung, proses pembentukan modal insan mereka akan terjadi dengan penyerapan
nilai positif tersebut.
Semangat patriotisme sering
dikaitkan dengan rasa cinta dan sayang kepada nagara. Hal ini dirujuk kepada
masyarakat yang seharusnya memiliki sifat tersebut dalam diri mereka. Bagi
membantu masyarakat khususnya murid-murid menanam sikap tersebut dalam diri
mereka, penggunaan pantun digunakan dengan menyelitkan unsur-unsur tersebut
dalam inti pati pantun tersebut. Berikut merupakan contoh rangkap pantun yang
mengandungi nilai-nilai patriotisme:
Cik
Embun orang berbidan,
Pandai
mengurut sakit kepala,
Biar berkalang nyawa di badan,
Kedaulatan
negara ku pertahankan jua.
Berdasarkan contoh rangkap pantun di
atas, nilai semangat patriotisme telah digunakan oleh pengkarya sebagai inti
pati pantun yang dihasilkan. Hal ini bertujuan untuk memberi kesedaran dan
penyerapan nilai kepada masyarakat tentang peri pentingnya menanam semangat
patriotik dalam diri. Oleh sebab itu, kalangan murid khususnya sering menggunakan bahan sastera ini
dalam sesi pembelajaran mereka. Oleh itu, proses penyerapan nilai sedemikian
akan lebih mudah ditambah dengan gabungan kaedah-kaedah pengajaran yang lain
seperti main peranan, lakonan dan sebagainya. Murid-murid akan mudah untuk
menerima segala perkara yang baharu dan secara tidak langsung, pengetahuan tersebut
menjadi tabiat kepada mereka.
5.3 Nilai Kerjasama
Dalam hidup berorganisasi, sikap
bekerjasama dan berganding bahu amatlah dituntut dalam menjalani kehidupan
seharian. Hal ini kerana, sikap tersebut akan memberi impak positif kepada
perpaduan kaum yang telah lama dibina. Oleh sebab itu, bahan sastera yang
menampilkan pelbagai nilai dan pengajaran mampu mendidik dan memupuk nilai-nilai
murni ini dalam diri masyarakat. Penggunaan pantun yang menyelitkan nilai kerjasama
dalam sesi pengajaran akan menjadi proses penyerapan nilai menjadi lebih mudah.
Oleh itu, murid akan mudah untuk memahami dan menghayati nilai-nilai tersebut.
Berikut merupakan contoh rangkap pantun yang menyelitkan nilai kerjasama:
Bulat salak di
dalam kantung,
Kulitnya keras
isinya kelat,
Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia kerana muafakat.
Berdasarkan contoh
pantun di atas, nilai kerjasama telah digunakan sebagai peringatan kepada
pembaca untuk sentiasa mengamalkan sikap bekerjasama dan tolong-menolong.
Kebiasaannya guru akan menggunakan pantun sedemikian disertakan dengan
contoh-contoh perbuatan yang boleh dilambangkan sebagai bekerjasama dalam
proses pengajaran. Situasi sedemikian akan memudahkan murid untuk menilai dan
menyerap nilai-nilai tersebut ke dalam diri mereka dan membentuk modal insan
mereka supaya mengikut perbuatan-perbuatan positif tersebut.
5.4 Nilai Baik Hati
Seseorang
individu selalu disarankan supaya mempunyai sikap baik hati sama ada terhadap
sesama manusia atau bukan manusia. Hal ini berkaitan dengan sikap insaniah yang
ada dalam diri setiap manusia supaya lebih peka terhadap kebajikan orang lain.
Oleh sebab itu, apabila merasakan nilai ini sangat penting, pengkarya telah
mengambil inisiatif dengan menyampaikan kebaikan tersebut dalam bentuk pantun.
Oleh itu, telah wujud rangkap pantun yang menyelitkan nilai-nilai baik hati dan
prihatin untuk memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya golongan murid
dalam sesi pembelajaran mereka.
Pantun yang menyelitkan
nilai baik hati sering menjadi bahan utama kepada guru-guru dalam proses
pengajaran di peringkat sekolah rendah. Hal ini kerana, nilai baik hati menjadi
nilai permulaan yang mudah diterapkan ke dalam diri murid-murid. Seawal usia
tujuh tahun, mereka diasuh untuk menanam sikap prihatin dan peka dengan
kebajikan orang lain sehingga mereka dapat mengaplikasikan nilai tersebut dalam
kehidupan mereka. Berikut merupakan contoh rangkap pantun yang menyelitkan
nilai-nilai baik hati:
Adik ke kedai
membeli halia
Emak memesan
membeli laksa
Jadilah insan berhati mulia
Baik hati berbudi bahasa.
Berdasarkan contoh
rangkap pantun di atas, nilai baik hati dan berbudi bahasa jelas ditonjolkan
menerusi bahan sastera ini. Nilai positif yang diserap ke dalam diri
murid-murid akan mudah menjadi ikutan dan tabiat mereka. Hal ini dilihat
bertepatan kerana seawal murid-murid dalam usia kanak-kanak, proses pembentukan
tingkah laku dan tabiat sedang berlaku dan secara tidak langsung, proses
pembelajaran di dalam kelas yang dijalani oleh mereka akan membantu mereka
untuk membentuk tingkah laku mereka dan mengaplikasikannya dalam kehidupan.
6.0 PENERAPAN NILAI
MELALUI SAJAK
Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) sajak didefinisikan sebagai penamaan bunyi
pada suku kata, selain itu turut dikenali sebagai puisi moden yang berbeza
daripada pantun dan syair yang digubah dalam bahasa yang indah untuk menyatakan
fikiran seperti perasaan dan pengalaman. Pengajaran dan pembelajaran sajak di
peringkat sekolah rendah di begitu dititikberatkan dan terdapat beberapa buah
sajak turut terkandung dalam buku teks murid sekolah rendah.
Kajian ini ada mengambil beberapa buah sajak yang
sesuai untuk digunakan bagi pengajaran guru di sekolah rendah. Walaupun sajak
yang dikaji ini tidak terdapat dalam buku teks sekolah rendah namun bahasa yang
digunakan dalam sajak yang dikaji ini bersesuaian untuk diajarkan kepada murid
sekolah rendah. Penggunaan bahasanya mudah, ringkas dan mudah difahami oleh murid.
Antara nilai yang terkandung dalam sajak yang dipilih ialah
6.1 Nilai
Patriotisme
Sajak “Indah Negeriku” karya Anna Su menceritakan
tentang keindahan yang dimiliki oleh sesebuah negara. Dalam pengajaran dan
pembelajaran sekolah sajak ini sesuai digunakan kerana ia mendidik murid untuk
mencintai negara. Di samping itu, memberikan kepada murid akan keindahan alam
sekitar negara. Di sini para murid akan menghargai dan menyayangi negara.
Contoh rangkap yang menceritakan tentang keindahan alam ialah :
Negeriku aman damai
pepohon nyiur melambai
menaungi pasir halus di pantai
tempat
pelancong berlibur dan bersantai.
Guru
boleh mengajar murid mengenal nilai yang terdapat dalam sajak melalui rangkap
kerana dalam penulisan sajak pada setiap rangkap pasti ada nilai yang
ditonjolkan oleh penulisnya. Secara tidak langsung sajak untuk murid sekolah
rendah juga mestiah daripada perkataan yang mudah difahami agar murid tidak
akan susah untuk memahami sajak yang diajarkan.
6.2 Nilai
Kebebasan
Seterusnya, berdasarkan sajak “Seorang Kanak-Kanak
dengan Layang-Layang” karya Md Nizar bin Parman pula terdapat nilai dan
pengajaran yang begitu dekat dengan dunia kanak-kanak yang inginkan kebebasan
dalam mengorak langkah. Kanak-kanak merupakan individu yang mempunyai dunia
mereka sendiri yang belum ada tanggungjawab dalam hidup hanya ada rasa ingin
bermain dan mempunyai impian yang belum nyata. Rasa disayangi dan dilindungi
begitu mendalam dalam diri mereka.
Pengajaran
sajak ini memerlukan guru membayangkan kepada murid-murid tentang kisah seorang
kanak-kanak yang memiliki layang-layang. Layang-layang di sini diumpamakan
sebagai impian dan harapan kanak-kanak. Seorang kanak-kanak kebiasaan mempunyai
impian yang tinggi. Oleh itu, kita sebagai manusia dewasa tidak seharusnya
menyekat impian mereka malah harus memberikan galakan dan sokongan.
6.3 Nilai Berdikari
Selain itu, sajak ini juga memerihalkan tentang macam
mana seorang kanak-kanak itu mampu untuk berdikari dan berusaha untuk
menerbangkan sebuah layang-layang meskipun mengalami kesusahan. Contohnya
situasi dalam sajak yang menggambarkan kanak-kanak ini berusaha menerbangkan
layang-layang ialah :
Memandang ke dada langit
Sambil mengheret
Layang-layangnya yang koyak
Tiada angin yang bertiup
Namun cuba diterbangkan juga
layang-layang
Itu
Di
tengah padang impian.
Berdasarkan contoh
rangkap sajak di atas, digambarkan layang-layang diterbangkan tanpa angin, walaupun
badan lesu dan kepenatan kanak-kanak itu masih lagi cuba untuk menerbangkan
layang-layang miliknya.
6.4 Nilai
Kasih Sayang
Menerusi sajak “Baju Baruku” karya
Hal Iman pula guru boleh menggunakan pendekatan yang lebih lembut dalam
penyampaian sajak ini. Hal ini demikian kerana sajak “Baju Baruku” mengisahkan
tentang seorang kanak-kanak yang dihadiahkan sepasang baju baru oleh ibunya
yang dia amat sayang sehinggakan tidak mahu ditanggalkan dan dipakai setiap
masa. Hubungan yang erat antara ibu dan anak dapat dilihat pada rangkap berikut
:
Baju baruku
Dibeli ibu sebagai hadiah
Dipeluk erat disukai hati
Selamanya baru terasa sayang
Tanda
anak disayangi ibu
Nilai
kasih sayang seorang ibu kepada anaknya ditonjolkan dengan pemberian baju.
Kanak-kanak akan merasa gembira sekiranya diberikan hadiah barangan seperti
baju. Guru boleh juga menggambarkan bagaimana seorang ibu bersusah payang
bekerja untuk membeli baju dan kaitkan juga dengan situasi murid. Dengan itu, murid
akan dimotivasikan. Pengajaran sajak dalam kelas juga secara tidak langsung
akan membantu guru untuk melahirkan murid yang mempunyai rasa cinta dan sayang
kepada keluarga.
7.0 PENUTUP
Kesimpulannya, penerapan nilai-nilai murni dapat
dilaksanakan dengan menggunakan karya genre sastera dalam diri murid sekolah
rendah. Penggunaan genre sastera seperti cerita haiwan, jenaka, teladan, pantun
dan sajak mengandungi pelbagai nilai murni yang boleh diteladani oleh murid.
Penyampaian genre sastera ini boleh dilakukan dengan menggunakan blog kerana
blog merupakan antara media yang mampu menarik minat murid untuk pelajari
nilai-nilai yang terkandung dalam karya.
Oleh
itu, guru memainkan peranan penting dalam menjadi pendorong dan pembimbing
kepada murid sekolah rendah khususnya untuk memudahkan mereka mempelajari
nilai-nilai murni. Oleh itu, blog yang dihasilkan perlulah mempunyai tarikan
seperti penggunaan audio, video, teks, animasi dan grafik yang menarik dan
mudah difahami oleh murid. Pemilik blog juga perlulah bijak dalam memilih karya
yang ringan dan mudah diterima oleh murid.
_______________________________________________________________
_______________________________________________________________
BIBLIOGRAFI
A. Halim Ali,
(2013). Memahami puisi Melayu tradisional.
Tanjung Malim : Persatuan
Penulis
Budiman Malaysia.
Abdul Ghani
Abdullah et. al, (2007). Humor dalam
pengajaran. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Md. Sidin Ahmad Ishak, (2005). Perkembangan
sastera kanak-kanak di Malaysia :
buku Melayu mencari nafas baru. Shah Alam : Cerdik Publications Sdn. Bhd.
buku Melayu mencari nafas baru. Shah Alam : Cerdik Publications Sdn. Bhd.
Mohd Nurazwan,
(2012). Nilai dan fungsi cerita jenaka Masyarakat Dusun Kimaragang. Dipetik
pada April 2, 2014 daripada http://kalasuka89.blogspot.com/2012/04/nilai-dan-fungsi-cerita-jenaka.html.
Naapie Mat,
(2006). Teknik mengajar KOMSAS : komponen
sastera. Kuala Lumpur
: PTS Profesional.
: PTS Profesional.
Othman Puteh
dan Abdul Ahmad, (1984) Sekitar sastera
kanak-kanak dan remaja.
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rogayah A.
Hamid dan Wardati Md. Sheriff, (2007). Tradisi
lisan: manifestasi cendekiawan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Shaffe Mohd
Daud et. al, (2011). Pengaruh amalan
jenaka terhadap pengajaran dan pembelajaran murid [Electronic version]. Asia
Pacific Journal of Educators and Education, 26. Diperoleh pada April 5, 2014
daripada http://web.usm.my/education/publication/APJEE_26_08_Shaffe%20(125-144).pdf
Siti Hajar
Abdul Aziz, (2009). Siri pendidikan guru:
bahasa Melayu II. Selangor:
Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Siti Zaleha M. Hashim, (2013). Mengenali
cerita rakyat. Kuala Lumpur : Institut
Terjemahan dan Buku Malaysia.
Terjemahan dan Buku Malaysia.
Sulaiman Masri et. al, (2006). Bahasa Melayu : dimensi pengajaran dan
pembelajaran. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors.
pembelajaran. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors.
No comments:
Post a Comment