Si Luncai telah dijatuhkan hukuman oleh raja supaya dibuang ke tengah laut. Si Luncai dihukum kerana kesalahannya mempermain-mainkan raja serta pembesar-pembesar baginda. Oleh itu dia menerima hukuman itu dengan tenang.
Pesuruh
raja pun bersiaplah membawa Si Luncai ke dalam perahu untuk dibawa ke tengah
laut kerana Si Luncai akan dibuang ke dalam laut itu nanti. Si Luncai telah
dimasukkan ke dalam sebuah guni dan dipikul ke pangkalan.
“Kasihan benar aku melihat kamu semua terlalu teruk berkayuh. Mahukah kamu semua jika aku ajarkan lagu untuk menghilangkan penat kamu semua itu?”
Salah
seorang daripada mereka berkata; “Diamlah kamu, sebentar lagi kamu akan
dicampakkan ke dalam laut ini”. Mendengar kata-kata yang sedemikian itu, maka
Si Luncai pun menyanyilah. “Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan!
Biarkan!”
Mendengar
Si Luncai menyanyi itu, pesuruh raja itu mula tertarik dan beberapa orang
pekayuh mula menyanyi: “Si Luncai terjun dengan labu-labunya!”
Maka
beberapa orang yang lain pun menjawablah: “Biarkan! Biarkan!” Akhirnya mereka
menjadi dua kumpulan menyanyikan lagu itu.
“Si Luncai terjun dengan labu-labunya!”
“Biarkan! Biarkan!”
Demikian lagu itu dinyanyikan
berulang-ulang hingga lekalah mereka semuanya.
Apabila
sampai ke tengah laut, pesuruh raja pun mencampakkan guni itu ke dalam laut.
Pada mereka, matilah Si Luncai dan mereka pun baliklah memberitahu raja akan hal
itu. Tiada siapa yang tahu bahawa Si Luncai sebenarnya telah berenang sampai ke
pantai.
Namun
dalam hatinya menyimpan dendam yang sangat mendalam kepada raja yang zalim dan
angkuh itu. Setiap hari dia memikirkan bagaimanakah caranya untuk membalas
dendam. Padanya, raja adil raja disembah, raja zalim, raja disanggah. Setelah
beberapa hari lamanya, barulah Si Luncai mendapat idea.
Pada
hari yang terpilih itu, Si Luncai pun mengenakan baju serba putih lengkap
dengan serbannya sekali. Imej yang dibinanya adalah imej orang alim lagi warak.
Setelah
itu dia pun dengan beraninya pergi ke istana raja. Melihat Si Luncai datang,
terkejutlah seisi istana, kerana tidak menyangka yang Si Luncai telah ‘hidup’
kembali. Raja pun keluar dan terjadilah pertemuan baginda dengan Si Luncai buat
kali kedua.
“Apa yang terjadi kepada kamu?” tanya
baginda.
“Alhamdulillah, patik sekarang telah
insaf … patik akan menjadi orang alim. Patik tidak perlukan apa-apa lagi dalam
hidup ini.”
“Apa yang terjadi kepada kamu?”
“Patik telah sampai ke alam arwah dan
bertemu dengan arwah-arwah orang yang telah mati … termasuk arwah ayah patik dan almarhum ayahanda tuanku.”
“Almarhum ayahanda beta? Bagaimana
gerangannya di sana?”
“Ampun, tuanku. Almarhum sangat
dukacita kerana perbuatan tuanku.”
“Apa yang beta lakukan?”
“Entahlah, almarhum cuma berdiam diri.
Katanya baginda ingin bertemu sendiri dengan tuanku untuk memberi nasihat,”
kata Si Luncai.
“Bagaimana, bolehkah beta bertemu
ayahanda beta?”
“Masakan tidak, hamba yang hina ini pun
boleh, apalagi tuanku yang mulia.”
“Bagimanakah cara?” tanya raja.
“Begini … tuanku hendaklah masuk ke
dalam laut dalam peti yang dilubangi. Patik dahulu pun begitu juga. Di dasar
lautlah akan berlaku pertemuan itu nanti.”
Tanpa
berfikir panjang, raja pun bersetuju. Pendek cerita, raja pun dibuang ke laut
di dalam peti yang berlubang. Apalagi, air pun masuk dan raja pun mati lemas.
Si Luncai lari menyembunyikan diri dan tidak diketahui lagi keadaan dan
nasibnya selepas itu.
http://genta-rasa.com/2010/05/21/biarkan-siluncai-terjun-dengan-labu-labunya/
Nilai
1. Ketenangan
2. Kebijaksanaan
3. Keberanian
Pengajaran
1. Kita hendaklah
bijak menggunakan akal bagi menyelesaikan sesuatu masalah.
2. Kita hendaklah berusaha
bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.
3. Kita janganlah
menyimpan dendam terhadap sesiapa pun kerana ia akan menimbulkan permusuhan.